Peralatan Memburu

Jebak LembingPerangkap RacikSumpit Lastik

Jebak

Jebak ialah sejenis alat (perangkap) untuk memerangkap binatang, lazimnya burung, biawak, musang, landak dan lain-lain. Jebak diperbuat daripada rotan (kulit atau isi) atau buluh yang diraut menjadi bilah kecil dan dianyam mengikut bentuk yang digemari. Biasanya jebak berbentuk separuh bulatan dengan tapak yang rata, dilengkapi dengan pintu kecil dan tempat menggantung jebak. Di dalam jebak ini terdapat tali jerat yang dilaraskan kepada pintu jebak.

Pemburu (pemikat) burung akan meletakkan seekor burung yang mempunyai suara merdu dalam jebak digunakan untuk memikat atau menggoda dan menipu burung yang berkeliaran di kawasan belukar atau hutan. Semasa dibawa ke kawasan tersebut jebak ditutup dengan kain. Apabila tiba di kawasan yang telah dikenalpasti mempunyai burung, jebak akan diletakkan di atas tanah di mana penutup dan pintu jebak dibuka. Mata jerat dipasang dalam satu lengkaran atau bulatan di hadapan jebak Pemikat akan memerhatikan dari jauh. Suara (bunyi) burung dalam jebak dapat memikat burung-burung di situ untuk menghampiri dan masuk ke dalam jebak atau terkena jerat yang dipasang. Apabila burung masuk dan terpijak jerat yang dipasang maka pintu jebak akan tertutup. Burung ini akan dipelihara oleh pemikat sama ada untuk hiasan, pertandingan dan ada juga yang menjualnya kepada kawan-kawan dan peminat burung. Terdapat juga jerat bagi memerangkap binatang liar yang merosakkan tanaman seperti musang dan tenggiling. Bagi tujuan ini ia dikenali sebagai perangkap dimana ianya lebih besar dan diperbuat daripada bilah besi.

Bagi memerangkap binatang liar atau buas yang mengganggu dan membahayakan ternakan seperti ayam, itik dan kambing serta tanaman seperti ubi kayu, keledek, pisang perangkap atau jebak yang lebih besar dan kukuh digunakan.Iannya dipasang dikawasan semak, belukar atau pepohon rimbun seperti buluh dan disediakan dengan makanan kegemaran binatang seperti bangkai binatang, buah betik atau buah-buahan lain yang sesuai dengan binatang yang hendak diperangkap.