Nyiru

Nyiru juga bermaksud badang, ayakan, tampian, tampah dan penampi. Nyiru lazimnya diperbuat daripada buluh atau rotan, berbentuk bujur atau bulat, beranyam rapat dan bingkainya beranyam tulang belut. Di negeri-negeri Pantai Timur, nyiru juga dikenali sebagai badang. Nyiru juga mempunyai nama, jenis dan bentuk yang berbeza bergantung kepada jenis bahan yang digunakan serta kegunaannya. Bentuk yang terdapat ialah bulat, bujur dan bersegi tiga.

Nyiru bentuk bujur diperbuat daripada kulit buluh dan digunakan oleh petani untuk menampi padi, iaitu mengasingkan padi daripada hampa. Proses ini dikenali juga sebagai mengangin padi. Melalui kaedah ini, padi diletakkan di dalam nyiru dan ditampi mengikut arah angin. Dengan cara ini, hampa akan jatuh ke tanah atau terbang ditiup angin. Hasilnya, hanya padi yang tinggal di dalam nyiru.

Kegunaan lain ialah sebagai bekas tampi padi atau beras, juga sebagai tempat untuk menjemur ikan. Nyiru juga digunakan untuk membersihkan antah daripada beras sebelum ditanak. Selain daripada itu, ia digunakan untuk mengasingkan beras dan antah, menjemur bahan makanan seperti pisang, kerepek ubi, tepung, gula yang telah ditumbuk.

BACK