>
Pasu merupakan sejenis tembikar yang diperbuat daripada tanah liat. Terdapat berbagai jenis pasu dan kegunaannya. Demikian juga dari segi saiz dan rupa bentuknya. Pasu bertutup yang kecil saiznya lazim digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyimpan garam, asam jawa, minyak lebihan memasak. Manakala pasu yang besar digunakan untuk memukul telur dan gula, setelah cukup kembang dicampur sedikit tepung bagi menyediakan adunan kuih baulu.
>Penduduk desa dan kampung pada awal tahun 1960-an menggunakan pasu yang besar untuk menakung air. Air hujan untuk dijadikan air minuman dan air perigi untuk membasuh pinggan mangkuk dan kegunaan lain. Sekiranya tutup pasu telah pecah, dulang atau talam yang sesuai saiznya boleh digunakan untuk menutup pasu tersebut.
Selain daripada itu pasu juga digunakan untuk menyimpan tapai, ikan pekasam atau lain-lain jenis pekasam dan jeruk. Ia juga digunakan untuk menyimpan/mengisi lauk-pauk kenduri-kendara seperti rendang, kari dan sebagainya.
BACK