Lain-Lain Peralatan

Pelita Ayam

Lampu Gaslin

Seterika Arang

Timba

SETERIKA ARANG

Pada masa dahulu sebelum adanya bekalan elektrik ke rumah-rumah terutamanya di kawasan perkampungan, ramai orang mempunyai alternatif untuk menghilangkan kedut-kedut di pakaian masing-masing. Salah satu alat yang biasa digunakan adalah seterika tradisional yang menggunakan bahan bakar iaitu arang sebagai pemanas seterika tersebut.

Seterika arang diperbuat daripada tembaga dan bentuknya adalah lebih kurang sama dengan bentuk seterika moden pada masa kini tetapi ia mempunyai saiz yang agak besar dan tinggi. Ia dibahagikan kepada dua bahagian dan mempunyai pemegang yang agak selesa bagi kegunaan menggosok pakaian. Pada bahagian atasnya ada penutup dan penutup tersebut boleh dibuka tutup bagi meletakkan arang. Kayu arang terlebih dahulu dibakar sehingga merah membara. Selepas itu ia dimasukkan ke dalam badan seterika dan ditutup. Seterika tersebut akan ditekap ke atas daun pisang terlebih dahulu bagi mengawal tahap kepanasan seterika tersebut untuk disesuaikan dengan pakaian yang ingin digosok. Beberapa helai pakaian boleh diseterika dalam satu-satu masa dan jika seterika itu telah berkurang panasnya, ia akan digantikan dengan bara yang baru.

Arang perlu dibuang atau dikeluarkan daripada seterika apabila urusan menggosok pakaian telah selesai. lazimnya ia boleh digunakan sebagai bahan bakar untuk memasak di dapur kayu atau arang.

Seterika Arang
Cara Seterika Arang digunakan