Peralatan Menangkap Ikan

Bubu

Jala

Jaring

Lukah

Pancing

BUBU

Bubu merupakan sejenis alat menangkap ikan dan termasuk dalam kumpulan perangkap. Ianya sering digunakan oleh masyarakat Melayu yang tinggal di persisiran pantai, lautan ataupun penduduk desa yang tinggal berhampiran dengan sungai. Walaupun bentuknya yang agak berbeza dengan mana-mana perangkap yang lain kerana saiznya yang agak kecil, namun ianya mudah dibawa dan senang diletakkan di tempat yang didapati banyak mempunyai ikan. Terdapat beberapa jenis bubu antaranya ialah bubu batang, bubu daun, bubu janbul dan bubu sadah. Bubu merupakan salah satu alat tangkapan tradisional Melayu yang masih kekal dengan bentuk asal dan ianya masih digunakan sehingga hari ini.

Secara amnya, sebuah bubu dibentuk daripada tapak berbentuk empat segi bujur yang diperbuat daripada rotan atau buluh mengikut rupa bentuk tertentu. Seluruh tapak dan rangka ini diliputi dengan kawat mata punai. Di bahagian depannya terdapat satu pintu masuk yang dipanggil injap yang berbentuk seperti leher kuda. Fungsinya adalah untuk memerangkap hasil tangkapan dengan membenarkan ikan masuk tetapi menghalangnya daripada keluar, manakala satu lagi pintu yang boleh dibuka dan ditutup, berada di bahagian tapak untuk mengeluarkan hasil tangkapan. Pembuat bubu hanya memerlukan kemahiran meraut dan menganyam buluh. Buluh tersebut perlu dipotong kecil-kecil secara memanjang dan diraut untuk menjadi bilah yang boleh dianyam. Bahagian atasnya dibentuk untuk dibuat lingkaran supaya dapat menyokong buluh-buluh yang akan disatukan dengan pengadangnya.

Sehingga kini masih terdapat penduduk desa menggunakan bubu tradisional untuk menangkap ikan air tawar khasnya bagi memenuhi keperluan harian. Antara hasil tangkapan ikan yang biasa diperolehi ialah ikan sepat, keli, haruan, puyu dan ikan air tawar yang lain yang amat digemari oleh masyarakat desa.

Pada masa ini, bubu telah diubahsuai dan diperbuat daripada bahan-bahan logam sesuai dengan penggunaannya untuk dilabuhkan di dasar lautan agar tahan lebih lama. Sungguhpun begitu, pembuatan bubu tradisional ternyata lebih mudah dan menjimatkan berbanding dengan bubu moden.

BUBU UDANG

Bubu udang merupakan peralatan menangkap ikan dan udang katung secara tradisional yang digunakan secara meluas sejak dahulu lagi. Ianya diperbuat daripada buluh. Teknik yang biasa digunakan ialah teknik anyaman. Ia berbentuk bulau yang mana pada bahagian depannya lebih besar di sertai sebuah kerongsang sebagai pintu masuk bagi memudahkan udang masuk dan seterusnya memerangkap ianya daripada keluar. Bubu ini digunakan untuk menahan udang samada di sungai atau alur dan tidak sesuai digunakan di kawasan air deras, terlampau dalam dan juga di dasar lautan.

Saiz bubu udang tradisional ini tidak bersaiz besar, ianya terpulang kepada para pembuatnya mengikut citarasa tersendiri samada mahukan bubu bersaiz besar ataupun kecil. Saiz biasa bagi bubu tradisional ialah antara 0.7 meter panjang dan ukuran lilit antara 80-100 sentimeter. Penghasilan bubu yang bermutu bukan sahaja berdasarkan bahan yang digunakan, bahkan ianya lebih merujuk kepada teknik penghasilan serta kemahiran mereka yang menghasilkannya. Sungguhpun begitu, terdapat di kalangan masyarakat hari ini yang memodenkan lagi rupa bentuk bubu, malah turut mengubah saiz bubu tersebut agar mendapat lebih tangkapan.

Sungguhpun pelbagai kemudahan yang telah disediakan bagi melancarkan lagi teknik menangkap ikan agar lebih mudah serta mendapat hasil yang lebih banyak dan lebih menjimatkan masa, bubu tradisioanal ini tetap menjadi pilihan utama terutama kepada penduduk-penduduk desa yang tinggal di kawasan pinggir sungai atau laut.