Peralatan Menangkap Ikan

Bubu

Jala

Jaring

Lukah

Pancing

PANCING

Masyarakat Melayu pada masa dahulu menjalankan kegiatan menangkap ikan sebagai sumber utama makanan dan ada juga dijadikan sebagai sumber pendapatan/ekonomi. Alat utama yang dijadikan alat bagi menangkap ikan adalah pancing. Kebiasaannya, pancing dibuat sendiri daripada buluh dengan mata kail yang pelbagai saiz. Mata kail merupakan dawai yang hujungnya berkait dan tajam, dikenali juga sebagai mata pancing. Terdapat beberapa jenis mata pancing seperti kail ambur, kail berladung dan kail kacar. Batang buluh muda yang bersaiz sederhana akan ditebang dan dijemur sekejap agar ia menjadi lebih ringan. Panjang buluh itu adalah lebih kurang 3 meter dan batang buluh itu akan dibersihkan terlebih dahulu di mana daun-daun serta miang buluh tersebut dibuang.

Pada hujung buluh tersebut akan diikat dengan seutas benang/tangsi yang berukuran 2 meter atau mengikut kehendak/citarasa masing-masing sebagai tali pancing. Kepanjangan tali tangsi itu adalah mengikut kesesuaian tempat iaitu jika air dalam memerlukan tali yang panjang dan sebaliknya. Di hujung tali tangsi tersebut akan diikat dengan sebentuk mata pancing/kail yang dikehendaki mengikut saiz yang sesuai bagi sesuatu tempat memancing. Kira-kira sehasta daripada mata pancing tersebut, pada tali tangsi akan diletakkan batu ladung yang diperbuat daripada timah sebagai pemberat.

Pancing selalunya digunakan bagi memancing ikan di sawah, sungai, kolam atau parit. Ikan-ikan yang biasanya dipancing adalah seperti ikan keli, haruan, sepat, puyu, patin, kelah, belida, lundu, baung dan lain-lain. Umpan yang kebiasaannya digunakan adalah seperti cacing, cengkering, belalang, anak katak dan lain-lain.

Cara Memegang Pancing Semasa Menangkap Ikan