Peralatan Menangkap Ikan

Bubu

Jala

Jaring

Lukah

Pancing

JALA

Jala merupakan sejenis peralatan menangkap ikan tradisional yang sehingga kini masih digunakan walaupun terdapat beberapa alatan tangkapan ikan yang lain yang sudah tentu lebih canggih dan mudah digunakan oleh para nelayan masa kini. Oleh itu, penghasilannya masih diteruskan sehingga ke hari ini. Penduduk kampung pendalaman biasanya menghasilkannya untuk dipasarkan ataupun hanya untuk kegunaan sendiri. Ianya diperbuat daripada benang-benang kapas atau benang nilon yang agak kasar bagi menyokong beban berat hasil tangkapan. Ianya menggunakan teknik anyaman benang menggunakan coban. Dikeliling jala diletakkan cincin besi sebagai pemberat.

Teknik menebar jala dititik beratkan pada zaman dahulu, malah setiap upacara penebaran jala dilakukan beramai-ramai dan diketuai oleh raja atau sultan. Dalam setiap perahu terdapat satu kumpulan nelayan iaitu terdiri daripada pendayung, seorang pengemudi dan seorang lagi penebar jala yang berdiri dihujung haluan dan akan melakukan tugasnya sebaik sahaja menerima arahan menebar jala.

Jala tradisional biasanya mempunyai jaring yang lebih kecil, diperbuat daripada benang kapas yang telah dipintal dan panjangnya dari tengah ke tepi biasanya dua atau tigalengan panjangnya, manakala bagi panjangnya pula biasanya dua atau tiga belas panjangnya. Jala tersebut haruslah ditebar dengan cara yang betul agar dapat melebar dengan lebih luas.

Sampai pada satu kawasan yang dianggap sesuai untuk upacara menebar jala, sultan atau raja akan berhenti dan memberi isyarat kepada para kumpulan nelayan tadi supaya menebarkan jala mereka. Perahu-perahu tersebut akan bergerak perlahan-lahan dan akan membentuk lingkungan seperti bulan sabit. Manakala perahu diraja akan berada ditengah-tengah. Secara perlahan-lahan hujung lingkungan perahu tersebut akan mula bergerak ke arah satu sama lain dan mula membentuk satu bulatan. Apabila sudah membentuk bulatan, jala pun ditebar, apabila ia mula tenggelam, pendayung akan mula berdayung ke belakang dan setiap jala akan ditarik perlahan-lahan ke permukaan dan ikan-ikan dikeluarkan dari jaring-jaring halus tersebut dan dimasukkan kedalam jejaring buluh.

Kerja menebar jala tidak habis disitu sahaja, mereka akan tetap menebar jala tetapi berbeza kawasannya iaitu dijarakkan sebanyak sebatu jauhnya dari kawasan yang mula-mula dilakukan upacara penebaran jala tadi. Biasanya penjala mempunyai cara-cara mereka tersendiri dalam teknik-teknik menebar atau menarik jala. Salah satu caranya ialah jala tersebut pada mulanya akan ditarik dibahagian tali yang kendur, kemudian tali tadi akan digelung dengan tangan kanan, selepas itu jala itu akan ditarik hingga cincin besi pada jala tersebut terangakt dari perahu sampai ke paras lutut penjala.

Kemudian dengan tangan kirinya, dia mengambil jala itu dan disandangnya pada bahu dan lengan kanannya, manakala yang selebihnya diraih dengan tangan kiri, menghayun badannya ke belakang kemudian ke depan dengan gerak hantaran yang kuat , dengan lengan, bahu dan belakangnya, kemudian dia akan menebar jala itu keatas air, jala itu akan berkembang dengan cantiknya seperti sarang labah-labah yang besar bentuknya. Bahagian tepi jala tersebut tenggelam dengan serta-merta, kerana berat cincin itu menarik jaring jala tersebut.

Begitulah aktiviti menjala yang dilakukan oleh beberapa orang penjala yang mahir dalam aktiviti menebar jala. Sebaik sahaja sampai di pesisiran pantai, kumpulan nelayan tadi bersama-sama dengan angkatan diraja disambut oleh rakyat jelata tanpa mengira usia, kanak-kanak mahupun golongan wanita.

Penduduk kampung yang tinggal berhampiran pesisiran pantai, sungai dan sawah padi juga menjalankan aktiviti menjala ikan atau udang di waktu lapang iaitu setelah selesai melakukan kerja utama seperti bersawah, menoreh getah, berkebun dan sebagainya. Kegiatan dilakukan untuk menangkap ikan bagi keperluan seharian keluarga dan jika terdapat lebihan dijual kepada jiran atau sahabat handai serta dijadikan ikan pekasam.

Hasil tangkapan ikan menggunakan jala